Kajian Tindakan & Inovasi P&P

Selasa, 23 Oktober 2012

MENGAPA PERLU MENULIS?


Menulis bukan satu kerja yang mudah. tidak digemari dan bagi setengah orang ia amat membebankan. Ringkasnya bagi ramai orang ia memang satu kerja yang payah. Pada paradigma setengah orang, menulis perlukan kemahiran, idea, kreativiti dan bermacam-macam lagi. Akhirnya mereka menilai menulis sebagai sesuatu yang amat asing bagi diri mereka.

Saya dan juga rakan-rakan di jabatan  juga antara mereka yang berpandangan sedemikian. Dahulu memang begitulah pandangan kami. Kami cuma minat membaca. Menulis, minta maaf!. Namun bermula dengan program ‘one lecturer one paper’ maka bermulalah langkah pertama kami. Walaupun dalam program tersebut kami dikerah secara wajib untuk menulis. Sangat janggal dan kekok rasanya!.

Bermula dari program tersebut maka bermulalah paradigma baru dalam pandangan kami. Terutama ketika melihat rakan-rakan membentang dalam seminar akhir pengajian saya. Pendedahan kepada dunia di luar sana menghadirkan saya bermacam idea dan keinginan untuk menulis apa yang saya tahu dan apa yang saya alami.

Lalu saya cuba memupuk minat itu dengan menulis blog. Medium yang tidak asing lagi bagi ramai orang. Cuma saya tidaklah seaktif blogger-blogger hebat di luar sana. Penulisan saya juga tidaklah sehebat mereka. Namun itu tidak pernah memudarkan semangat saya.

 Apa yang saya harus akui cuma momentum saya dalam menulis tidak menentu. Terkadang cukup tinggi, dan kadang-kadang langsung tiada. Akhirnya laman peribadi saya ini usang bersarang.

 Tapi saya mula gilakan kerja menulis ini.

 Kenapa perlu menulis??

Tidak payah untuk menjawabnya. Cuma ingat pesan Rasullullah SAW, " sampaikan daripadaku walaupun satu ayat".

 Ia merupakan satu kewajipan.

Sebagai seorang muslim, dakwah kepada kebaikan, kepada Islam adalah kewajipan kita. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis. Jarang ada yang mampu turun padang berdakwah ke sana ke mari. Sukar juga untuk ramai di kalangan kita berdakwah di masjid atau surau memberi tazkirah atau ceramah. Lagi payah untuk seseorang pergi dari rumah ke rumah untuk menyampaikan seruan dakwah.

Jadi, menulislah jalannya. Benar, ia tidak semudah yang dikata. namun, jika betul caranya ia jalan paling mudah dan antara paling berkesan untuk sampai kepada sasaran.

Mengambil kata sifu-sifu penulisan, " kemahiran menulis itu boleh diasah dan dibentuk".

Menulis juga merupakan amal jariah kita yang boleh menjadi bekal di akhirat sana. Tapi syaratnya yang ditulis itu perlulah bernada kebaikan. Mengajak kepada yang makruf, menjauhkan dari yang mungkar.

 Rasullullah SAW pernah mengingatkan, bila terputusnya nyawa anak Adam itu, terputuslah segala amalannya kecuali beberapa perkara. Antara lainnya ilmu yang dimanfaatkan. Bagaimana memanfaatkan ilmu? Jawapannya hanya dengan menulis. Moga-moga tulisan kita kekal. Menjadi pedoman buat generasi baru dan menjadi bekal buat kita yang pergi dahulu.

Saya cukup teruja apabila memikirkan bagaimana para ilmuan Islam dahulu mampu menerbitkan berjudul-judul serta berjenis-jenis buku. Mereka cukup produktif. Apa yang mendorong mereka agaknya?

Sudah tentu matlamatlah puncanya. Matlamat yang memberi mereka upaya, selain daripada izin Allah SWT. Cita-cita mereka sudah tentu untuk menyebar-luas ilmu yang mereka ada. Mereka mahu seruan Islam tersebar ke seluruh ceruk alam melalui tulisan mereka. Jadi, kenapa tidak kita mencontohi mereka?

Kenapa kita perlu menulis?

Soallah kepada diri kalian.

Jika sudah ada jawapannya, bermulalah dengan segera. Jangan ditangguh kerja-kerja kebaikan itu. Kerana jika ditangguh, pasti menjadi 'tapai'. Manis-manis masam jadinya.

Bermulalah dengan mewujudkan blog. Tulislah apa sahaja yang kalian rasakan.

Selamat berjaya. Mari kita sama-sama berjalan di atas landasan dakwah ini.

Moga semua beroleh keberkatan, Insyaallah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan